DID NEWS-25112013

 

DID NEWS-25112013


Masalah banjir lumpur dua kampung berlarutan
by Eswandy Hinri. Posted on November 25, 2013, Monday

KUCHING: Penduduk Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya Hulu sekali lagi memohon kepada kerajaan agar membantu menyelesaikan kejadian banjir lumpur di kampung tersebut dengan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebanyak 32 keluarga di kampung tersebut mengalami kejadian banjir lumpur setiap kali hujan lebat melanda yang berlarutan sejak dua tahun lepas.

“Saya ingin menyampaikan keluhan daripada 32 keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir lumpur disebabkan hakisan tanah di tapak pembinaan syarikat Zecon yang terletak berhampiran,” ujar Dr Abdul Rahman ketika dihubungi kelmarin.

Sebelum ini, keluhan penduduk telah disiarkan dalam akhbar tempatan namun pihak Zecon masih gagal membantu menyelesaikan kejadian banjir lumpur yang melanda kampung-kampung terbabit.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, kejadian yang berlarutan sejak dua tahun lepas telah cuba diatasi melalui beberapa pendekatan seperti pelebaran dan mendalamkan anak sungai serta membina benteng namun ia masih tidak dapat mengatasi situasi tersebut.

“Kami telah bekerjasama dengan pihak DBKU dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi melebar dan mendalamkan anak sungai serta membina benteng namun kejadian banjir lumpur tetap berulang setiap kali hujan lebat.

“Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak Zecon menunjukkan keprihatinan dengan menyediakan pelan tindakan yang lebih serius bagi mengatasi masalah ini supaya penduduk kampung tidak berasa teraniaya,” katanya.

Jelasnya, lumpur yang dibawa air hujan akibat hakisan tanah di tapak pembinaan Zecon yang berhampiran telah dikenal pasti sebagai punca kejadian banjir lumpur tersebut.

Di samping itu, beliau turut memohon agar pihak Kementerian Pendidikan Negeri meninjau keadaan projek pembinaan SK Gersik yang baharu yang turut mengalami masalah yang sama.

“Masalah yang sama turut melanda kawasan darat Kampung Sourabaya Hulu di mana rumah-rumah di situ dimasuki air lumpur ketika hujan lebat berlaku.

“Ini menyebabkan 18 keluarga di kampung terbabit menanggung kesulitan setiap kali hujan turun kesan daripada projek pembinaan sekolah tersebut,” ujar Dr Abdul Rahman.

 

Copyright © Department Of Irrigation & Drainage Sarawak


Last Updated On 13 May 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm
Friday
8:00am to 11:45pm & 2:15pm to 5:00pm
Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed

image Polls
image Announcement