DID NEWS-19112013
RTB Batang Layar dijangka siap menjelang 2015
Posted on November 19, 2013, Tuesday
BETONG: Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ahmad Husaini Sulaiman berkata projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Batang Layar yang menelan kos keseluruhan RM38.93 juta giat dibangunkan bermula Ogos tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.
Jelas beliau, pembinaan projek tersebut merujuk kepada dua komponen utama melibatkan projek bagi fasa satu yang hampir siap dengan kos RM8.93 juta.
Manakala bagi fasa kedua adalah pembinaan ban tanah di tebing Batang Layar dan tadahan Sungai Semumok serta sistem saliran dan pembinaan dinding konkrit sepanjang sungai merangkumi lapis lindung.
“Turut dibina tebingan kedua-dua tebing Sungai Entanak serta pembinaan pintu air dan sistem saliran seterusnya memasang pemegang dan lorong pejalan kaki serta menurap jalan ke Rumah Semumok Baroh,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Sungai Batang Layar di Dewan Panglima Rentap di sini, semalam.
Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM308 juta pada RMK-9 dan RM392 juta lagi bagi RMK-10 untuk Sarawak dan disalurkan melalui JPS yang merupakan agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang bertanggungjawab terhadap program dan projek pengurusan banjir di seluruh negara.
“Penyiapan projek tebatan banjir dalam kawasan yang dianggarkan berkeluasan 100 hektar akan memberi faedah kepada hampir 200,000 penduduk di kawasan terbabit.
“Ini juga akan memberi faedah kepada beberapa kampung di sepanjang Batang Layar iaitu Kampung Hilir, Kampung Tengah, Kampung Masjid, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir, selain Rumah Semumok Baroh dan Rumah Entanak iaitu bebas ancaman banjir.
“Dalam Projek Tebatan Banjir Layar Fasa 1 yang dimulakan pada Ogos 2012 dijangka siap Januari 2014 dan bagi Fasa 2 yang menelan kos RM30 juta pula akan siap pada 2015,” katanya.
Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel dan Pengarah JPS Sarawak Wong Siew Heng.
