
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (tengah) bersama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming (kanan) melakukan simbolik majlis pecah tanah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bintulu Fasa Dua di Gem Park, Bintulu, pada Isnin. - Foto TVS
BINTULU, 9 Nov: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bintulu Fasa Dua di Gem Park bernilai RM7.77 juta dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak itu mempunyai tempoh pembinaan selama 18 bulan, bermula 23 November 2026 dan dijadualkan siap pada 22 Mei 2028.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pelaksanaan projek berkenaan mengambil kira keadaan sistem saliran di Gem Park yang menerima aliran air dari kawasan sekitarnya, selain kedudukan muka bumi yang rendah.
Menurutnya, pembinaan parit monsun utama akan membolehkan air dari kawasan berhampiran disalurkan terus ke sungai, manakala kolam takungan baharu pula berfungsi menampung lebihan air ketika paras sungai meningkat.
“Air yang terkumpul akan dipam keluar apabila paras sungai menurun bagi mengelakkan air terus bertakung di kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pecah tanah projek berkenaan di Gem Park di sini, hari ini.
Projek yang melibatkan 94 rumah itu turut merangkumi pembinaan dua saliran konkrit bertetulang sepanjang 558 meter dan 265 meter, masing-masing dengan kelebaran lima meter dan satu meter.
Selain itu, skop pembinaan turut melibatkan kerja menaikkan benteng tanah sedia ada kepada aras 3.6 meter serta meninggikan jalan kepada aras 3.1 meter.
Sim berkata, projek berkenaan merupakan antara lima inisiatif tebatan banjir setempat yang sedang dilaksanakan di Bintulu, dengan satu projek telah siap manakala satu lagi mencapai kemajuan sebanyak 86 peratus.
Bagaimanapun, katanya, penyelesaian isu banjir di Bintulu turut memerlukan pendekatan lebih menyeluruh pada skala besar kerana ia melibatkan aliran air dari kawasan hulu serta pengaruh paras air laut.
Justeru menurutnya, perancangan dan pembiayaan secara bersama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan diperlukan bagi memastikan masalah banjir di Bintulu dapat ditangani secara berkesan.-TVS