News

 

Projek Pembinaan Jalan Sungai Lengan Tingkatkan Akses Infrastruktur Luar Bandar

Posted on 10 Feb 2026
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
Edisi Ukas Image

DARO: Akses infrastruktur luar bandar di kawasan Sungai Lengan bakal dipertingkat secara signifikan menerusi pelaksanaan Projek Pembinaan Jalan Rumah Jingga, David Multifarm, Rumah Seli, Rumah Guang hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Singat, sekali gus membuka laluan baharu yang lebih selamat, sistematik dan berdaya guna kepada penduduk setempat.

Usaha memperkasa jaringan infrastruktur luar bandar di Bahagian Sibu itu direalisasikan menerusi Majlis Pecah Tanah projek berkenaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Nanga Singat di sini pada Isnin sebagai langkah awal kepada pelaksanaan pembangunan berimpak tinggi di kawasan pedalaman.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad sekali gus menandakan permulaan rasmi pelaksanaan projek yang dijangka membawa perubahan ketara terhadap tahap kebolehcapaian, perhubungan dan mobiliti penduduk di Sungai Lengan dan kawasan sekitarnya.

Dalam ucapannya, Dr Safiee Ahmad berkata pembinaan jalan berkenaan amat signifikan dalam meningkatkan tahap perhubungan luar bandar, khususnya dalam menghubungkan penempatan komuniti, kawasan ekonomi setempat serta kemudahan pendidikan dan perkhidmatan asas.

Beliau menegaskan bahawa projek tersebut bukan sekadar pembinaan prasarana fizikal, sebaliknya merupakan pelaburan strategik Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses infrastruktur yang lebih adil dan inklusif, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Menurut beliau, jaringan jalan yang lebih baik akan memudahkan pergerakan hasil pertanian dan aktiviti ekonomi komuniti, mempercepat akses ke sekolah dan kemudahan awam, selain meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penduduk dalam menjalani kehidupan seharian.

“Apabila akses dipertingkat, kualiti hidup rakyat juga akan meningkat. Inilah matlamat utama pembinaan jalan ini, iaitu untuk memastikan pembangunan luar bandar benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak itu mempunyai siling projek sebanyak RM80 juta, dengan nilai kontrak diluluskan berjumlah RM69.9 juta.

Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 130 minggu bermula 16 Disember 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Jun 2028.

Skop projek merangkumi pembinaan jalan sepanjang 11.5 kilometer, melibatkan jalan utama sepanjang 9.6 kilometer, jalan spur sepanjang 1.9 kilometer dan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 90 meter dengan lebar 8 meter, yang akan meningkatkan tahap kebolehlaluan serta keselamatan pengguna jalan.

Projek ini turut melibatkan penggunaan tanah seluas 41 hektar di kawasan Nanga Singat – Sungai Lengan.

Bagi tujuan pengambilan tanah, pampasan berjumlah RM1.1 juta telah disalurkan kepada 53 penerima melibatkan 92 keping cek, yang disempurnakan penyerahannya oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 16 April 2025.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian Surat Penyerahan Pemakluman Kelulusan Projek di bawah Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) melibatkan dua projek naik taraf sekolah iaitu naik taraf bangunan dan infrastruktur SK Singat, Sibu bernilai RM564,000 serta naik taraf Bangunan SK Sungai Lengan, Sibu bernilai RM446,000 yang turut menyokong usaha meningkatkan akses pendidikan luar bandar.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian watikah pelantikan semula Ketua Kaum bagi kawasan di bawah DUN Daro melibatkan Ketua Kaum dan Tuai Rumah di sekitar Sungai Lengan dan kawasan berkaitan.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Timbalan Pengarah JPS Sarawak, Ir. Irwandee Reduan, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Ahli Chikba, Wakil Pegawai Daerah Sibu, Ezekiel Lawat Winston, Wakil Pengarah Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sarawak, Fakhrur Rezuan Mahamad, Penghulu Denish Ansam, Tuai Rumah Willy Francis serta tuai-tuai rumah dari kawasan Sungai Lengan, Tanjung Keling, Sungai Mawan, Sungai Sebinjai dan Batang Lassa.-EDISI UKAS



Copyright © Department Of Irrigation & Drainage Sarawak


Last Updated On 12 Feb 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm
Friday
8:00am to 11:45pm & 2:15pm to 5:00pm
Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed

image Polls
image Announcement