DID NEWS-02012014


Pasang besar pada Jumaat
by Reno Benjamin. Posted on January 2, 2014, Thursday

BANJIR: Tiang kayu dipacak di sepanjang Jalan Merlin di Sibu sebagai panduan kepada pengguna berhubung paras air banjir di kawasan terbabit.

'Air pasang dijangka setinggi 3.9 meter esok berikutan fenomena bulan penuh'

SIBU: Air pasang besar dijangka berada pada paras tertinggi iaitu 3.9 meter Jumaat ini (esok) berikutan fenomena bulan penuh (supermoon), di mana kedudukan bulan berada paling dekat dengan bumi.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sibu Ting Sing Kwong berkata fenomena itu menyebabkan tarikan graviti bulan mempunyai kesan yang amat kuat terhadap paras air di bumi.

Ini menyebabkan paras air pasang besar berada pada tahap 3.8 dan 3.9 meter untuk beberapa hari akan datang.

“Penduduk di kawasan rendah dan yang tinggal berdekatan tebing sungai harus berjaga-jaga ketika air pasang besar yang disertai hujan lebat di seluruh kawasan tengah,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Menurut Ting, meskipun paras air belum mencecah paras bahaya, orang ramai harus sentiasa berjaga-jaga sekiranya hujan lebat turun berterusan setiap hari.

Difahamkan, semua bandar serta pekan di kawasan Batang Rajang menerima taburan hujan tinggi beberapa hari lalu iaitu antara 26 hingga 66 milimeter (mm).

“Jumlah ini agak tinggi dan jika hujan turun berterusan di semua kawasan, banjir akan berlaku,” katanya sambil memberitahu bahawa Kapit mencatat jumlah hujan tertinggi iaitu 66mm pada Isnin lalu.

Sementara itu, Belaga mencatat taburan hujan sebanyak 40mm, Song (56mm), Kanowit (49mm) dan Sibu (43mm), jauh berbeza dengan jumlah hujan pada 1 Disember lalu iaitu di Belaga (11mm), Kapit (2mm), Song (1mm), Kanowit (7mm) dan Sibu (2mm).

Ting juga memberitahu, paras air banjir tertinggi dicatatkan di Jalan Ling Kai Cheng serta di Jalan Stabau.

Bagaimanapun, kawasan rendah di Jalan Hua Kiew hingga ke Jalan Kapor bebas daripada banjir hasil daripada projek tebatan banjir yang dilaksanakan.

“Pintu air berdekatan Pasar Sentral Sibu dan Hotel Kingwood di sini telah ditutup, manakala empat pam air digunakan bagi mengepam air keluar,” katanya.

 

Copyright © Department Of Irrigation & Drainage Sarawak


Last Updated On 22 May 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm
Friday
8:00am to 11:45pm & 2:15pm to 5:00pm
Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed

image Polls
image Announcement