SARIKEI: Sebanyak empat permohonan projek berkaitan penyelenggaraan dan naik taraf jalan perhubungan desa di kawasan Meradong akan dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk dipertimbangkan pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, permohonan tersebut adalah di bawah projek Program Jalan Luar Bandar yang diuruskan KKDW.
"Terdapat empat lokasi yang telah dipantau dalam permohonan tersebut iaitu Jalan Belepong Sungai Belepong, Jalan Kebun Skim Hulu Sungai Baung Tulai, Jalan Batu 8 Ulu Sungai Mador dan Jalan Kai Sing Sungai Labas.
"Terdahulu, pihak kita telah melakukan pemantauan di empat lokasi tersebut serta mendapatkan maklumat secara langsung daripada penduduk di kawasan berkenaan.
"Bagi Jalan Belepong Sungai Belepong, penduduk telah mengadu jalan di lokasi tersebut kerap banjir dan dinaiki air apabila hujan lebat dan situasi ini amat menyukarkan penduduk terutama ketika musim tengkujuh.
"Justeru, mereka memohon agar jalan tersebut dinaik taraf agar masalah jalan yang kerap banjir dapat diatasi," kata Huang di sini, pada Khamis.
Sementara itu kata Huang, bagi Jalan Kebun Skim Hulu Sungai Baung Tulai penduduk memohon agar sistem pembetungan baharu dibina untuk menggantikan sistem lama yang hanya diperbuat daripada kayu.
Bagi Jalan Batu 8 Ulu Sungai Mador tambahnya, penduduk memohon sistem pembetungan baharu bagi mencegah aliran air melimpah ke jalan raya.
Menurut Huang, bagi penduduk di Jalan Kai Sing Sungai Labas pula memohon jalan tersebut dinaik taraf.
"Ini kerana jalan lama masih lagi berbatu dan penduduk memohon ia dinaik taraf agar menjadi lebih selesa.
"Kesemua permohonan dan laporan berkaitan perkara ini akan kita usulkan kepada pihak KKDW untuk tindakan selanjutnya," ujar Huang lagi.
Terdahulu, Huang yang diwakili Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Sarikei Gung Chiu Kion telah mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut bersama wakil agensi kerajaan iaitu pegawai-pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei.