KUCHING: Masalah limpahan air hingga menyebabkan kekerapan banjir kilat di kawasan Issu Bangat termasuk laluan ke Tekalong akan tinggal sejarah selepas kerja-kerja pembersihan Sungai Empadi siap dilakukan.
Sebelum ini, laluan yang menghubungkan Rumah Ringkai Muda dan Rumah Tawi Ragai kerap terputus disebabkan aliran Sungai Empadi tersekat kerana dilitupi rumput tebal serta timbunan sisa kayu dari hutan di sepanjang sungai ini.
Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong ketika ditemui berkata, projek pembersihan Sungai Empadi akan dilakukan oleh kontraktor lantikan mereka dengan anggaran kos bernilai RM50,000.
"Kerja-kerja pembersihan aliran sungai dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu dengan peruntukan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa," katanya.
"Kami sebagai agensi berkaitan akan memantau kerja-kerja pembersihan sungai sepanjang 2.1km ini hingga siap dan berharap agar masalah banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar kawasan Issu Bangat dan Tekalong tinggal sejarah," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya mewakili Rumah Ringkai Muda dan Tawi Ragai memberikan penghargaan kepada Dr Johnical Rayong kerana menyumbang dana untuk kerja-kerja pembersihan ini.
Terdahulu, majlis penyerahan tapak projek kerja pembersihan dan pemuliharaan Sungai Empadi melibatkan kontraktor lantikan JPS Betong bersama pegawainya Singgar Margeratyou Rinkai di hadapan Pegawai Khas ADUN Engkilili Devester Renang.
Hadir sama ialah Tuai Rumah Ringkai Muda, Tuai Rumah Tawie Ragai, Tuai Rumah Bulie Atin, Tuai Rumah Meringgai Merayang dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Issu Bangat.