News

 

Projek infrastruktur perlu titik berat sistem saliran, perparitan elak banjir

Posted on 23 Dec 2022
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari mengambil peluang untuk beramah dengan mangsa yang terjejas di PPS Kampung Sungai Bedaun. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari mengambil peluang untuk beramah dengan mangsa yang terjejas di PPS Kampung Sungai Bedaun. - Gambar Muhammad Rais Sanusi


KUCHING: Projek pembangunan infrastruktur yang sedang dibina perlu menitikberatkan pelaksanaan sistem saliran dan perparitan dengan lebih tersusun untuk mengelak berlaku banjir khasnya di kawasan rendah di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tindakan untuk melaksana dan mengurus sistem berkenaan perlu diutamakan bagi mengelak masalah banjir berulang setiap kali musim hujan.

"Kerajaan Sarawak akan menyediakan perbelanjaan dari sudut perparitan dan tali air. Untuk jangka panjang, perbelanjaan ini tidak besar.

"Sekiranya kita selesaikan masalah (banjir) sekarang, untuk jangka panjang, tiada masalah untuk membangunkan kawasan terutamanya di Kuching," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sungai Bedaun, Santubong dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Abang Johari tiba di PPS Kampung Sungai Bedaun bagi mengadakan lawatan dan meninjau situasi di kawasan tersebut. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari tiba di PPS Kampung Sungai Bedaun bagi mengadakan lawatan dan meninjau situasi d
i kawasan tersebut. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

 

 

Mengulas mengenai hujan lebat yang dijangka berterusan di Sarawak, Abang Johari menasihatkan penduduk agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan rendah.

Beliau berkata, biasa di Sarawak akan berlaku hujan lebat pada bulan Januari, Februari dan hujung bulan Disember.

"Sehubungan itu, saya nasihatkan rakyat berhati-hati dalam masa tiga bulan ini dan sentiasa mengikut arahan daripada pihak berkuasa khususnya mereka yang tinggal di tepi sungai.

"Sekiranya, pihak berkuasa mengarahkan mereka (penduduk terjejas) berpindah, ikutlah nasihat pihak tersebut untuk keselamatan masing-masing," tegas beliau.

Berhubung situasi di Kampung Sungai Bedaun, Abang Johari menjelaskan, pihaknya sudah mengenal pasti punca banjir di kawasan terbabit.

"Saya telah diberi taklimat mengenai pembangunan yang berlaku di kawasan ini (Kampung Sungai Bedaun) dan saya hendak integrasikan pembangunan itu supaya aliran air dan juga perparitan lebih tersusun dan tidak mengakibatkan banjir di kawasan rendah.

"Maka ini sedang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak bersama pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) kerana LCDA yang memajukan kawasan ini," katanya.

Projek yang dilaksanakan itu jelasnya, untuk keluarga dari kawasan Darul Hana, sekali gus bermakna pelbagai kemudahan infrastrukur akan dibangunkan.

Untuk rekod, setakat jam 6 petang tadi, seramai 91 mangsa membabitkan 18 keluarga ditempatkan di PPS Kampung Sungai Bedaun.

Setakat ini, Abang Johari menjelaskan sebanyak enam PPS sudah dibuka di Sarawak bagi menempatkan mangsa banjir.

"Dua PPS di Bau, Kuching (satu), Kota Samarahan (dua) dan Sebuyau (satu)," katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, mangsa banjir akan diberi bantuan.

"Mangsa akan menerima bantuan makanan dan juga wang ihsan sebanyak RM1,000 bagi mereka yang terjejas dan berdaftar di PPS.

"Bagi mereka yang terjejas dan tidak mendaftar di PPS, ia akan dinilai menerusi rekod yang dilaksanakan oleh pegawai daerah dan residen bahagian," katanya.

Pada masa sama, Nancy menjelaskan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan turut membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Selain membantu dari segi makanan, kerajaan juga akan melihat dari segi kerosakan yang berlaku akibat banjir dan ia bergantung kepada keadaan.

"Kita akan berusaha membantu dari segi kebajikan mereka (mangsa) di mana kerajaan persekutuan dan negeri akan bekerjasama untuk membantu mangsa," jelasnya

 



Copyright © Department Of Irrigation & Drainage Sarawak


Last Updated On 09 May 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm
Friday
8:00am to 11:45pm & 2:15pm to 5:00pm
Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed

image Polls
image Announcement