News

 

Jaga kelestarian air bersih demi kesejahteraan semua

Posted on 26 Mar 2022
Source of News: Utusan Borneo Online

Lo melepaskan anak-anak ikan di Sungai Rantau Panjang Batu Kawa sempena program Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri di Kampung Sinar Budi Lama, hari ini.

Lo melepaskan anak-anak ikan di Sungai Sarawak sempena program Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri di Kampung Sinar Budi Lama, hari ini.

KUCHING: Rakyat diminta bersama-sama dengan kerajaan untuk menjaga kelestarian air bersih demi kesejahteraan semua, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Beliau berkata, air merupakan sumber bumi yang amat berharga untuk semua kehidupan, justeru ia perlu diuruskan dengan sebaik mungkin untuk pengekalan sumber air secara berpanjangan.

“Sarawak amat bertuah kerana dilimpahi dengan jumlah hujan yang tinggi sepanjang tahun iaitu kira-kira 3,500mm setahun. Malah, negeri ini juga kaya dengan dua sumber air iaitu air permukaan dan air bawah tanah.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menyemai dan meningkatkan kesedaran kita semua untuk menjaga sumber air sebaik mungkin untuk manfaat kita bersama,” katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri di Kampung Sinar Budi Lama di sini, hari ini.

Lo berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan sumber air mencukupi, selamat serta boleh digunakan oleh pelbagai sektor pengguna sama ada domestik, industri, pertanian penternakan dan perikanan.

“Misalnya, bermula dari hulu kawasan Batu Kitang menuruni Sungai Sarawak sehingga ke Batu Kawa, pihak kerajaan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah melaksanakan pelbagai usaha ini.

“Begitu juga dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak yang mempunyai kepakaran teknikal dalam pengurusan sumber air berisipadu besar,” katanya.

Menurutnya, tanggungjawab JPS Sarawak bermula dengan pengurusan air untuk tujuan pengairan pertanian dan pemuliharaan sungai.
 
“(Dan) kepakaran jabatan ini terus berkembang merangkumi aspek-aspek pengurusan hakisan pantai, penilaian sumber air dan tebatan banjir,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Lo berkata, Kampung Sinar Budi Lama dipilih sebagai lokasi perasmian Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Negeri Sarawak.

Sambutan Hari Air Sedunia katanya, disambut pada 22 Mac setiap tahun dan ia merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1993.

“Objektif penganjuran adalah untuk meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat bagi menangani isu-isu berkaitan air.

“Ia juga bertujuan untuk memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030,” kata beliau.

Terdahulu, sebanyak 10,000 ekor anak ikan lampam jawa daripada Jabatan Pertanian Bahagian Kuching dilepaskan di Sungai Rantau Panjang Batu Kawa oleh Lo sempena program sambutan hari ini.



Copyright © Department Of Irrigation & Drainage Sarawak


Last Updated On 15 Nov 2024

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45pm & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed

image Polls
image Announcement