Sarawak ID|Register
Announcements

News

Penambahbaikan di Pantai Batu Satu Kuala Baram selesaikan isu berbangkit
Posted on : 16 Jun 2022  Source of News: The Borneopost online
 

MIRI: Projek pembinaan tanjak bot dan pemecah ombak yang kini sedang dalam proses di Pantai Batu Satu Kuala Baram dikaji semula rekaannya dan diubah sedikit untuk menyelesaikan beberapa isu berbangkit dan memberi keselesaan serta aspek keselamatan kepada para nelayan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin yang mengadakan lawatan ke lokasi tapak projek pembinaan tersebut bersama wakil JPS Miri pada Rabu berkata, juruperunding projek yang mendapatkan maklum balas daripada para nelayan turut membuat sedikit perubahan pada rekaan sedia ada.

Lee bersama wakil juruperunding, JPS, kontraktor projek dan para nelayan, bergambar di tanjak bot sementara di Miri pada Rabu.
Lee bersama wakil juruperunding, JPS, kontraktor projek dan para nelayan, bergambar di tanjak bot sementara di Miri pada Rabu.

Katanya, situasi sedia ada dengan timbunan serdak kayu di tepi pantai itu agak menyukarkan para nelayan menarik bot melalui tanjak tersebut.

"Justeru mereka mencadangkan agar laluan tanjak dibina lebih panjang bagi memudahkan mereka menarik bot, selain pada masa yang sama dapat mengelakkan sampah-sarap dan serdak kayu yang banyak terdampar di pinggir pantai.

"Esok mereka (pihak juruperunding) akan memberikan pembentangan mengenai model yang diubah sedikit, mengikut kehendak dan keperluan para nelayan ini," katanya.

Lee menambah, beliau dan pihak JPS bersedia mendengar keluhan serta cadangan daripada para nelayan kerana mereka yang menggunakan laluan tersebut dan lebih arif mengenainya.

Projek tersebut yang baru sahaja bermula, dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan dan diharap dapat membantu golongan nelayan yang majoritinya dari Kampung Nelayan Batu Satu, Kuala Baram.

Useful Links

Useful Links