Sarawak ID|Register
Announcements

News

Kontraktor digesa pantau secara teliti jalan utama sekitar projek
Posted on : 12 May 2021  Source of News: Utusan Borneo Online
 
 Dr Abdul Rahman (tiga kiri) ketika memantau jalan utama yang rosak berhampiran Projek Tebingan Sungai Fasa Dua semalam.
BAIKI KEROSAKAN: Dr Abdul Rahman (tiga kiri) ketika memantau jalan utama yang rosak berhampiran Projek Tebingan Sungai Fasa Dua semalam.

LIMBANG: Pihak kontraktor bagi pembinaan projek Jalan Berkembar dan Tebingan Sungai Limbang Fasa Dua yang kini dalam pembinaan digesa memantau secara teliti keadaan jalan utama berhampiran projek agar tidak rosak dan mengganggu lalu lintas.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kedua-dua projek utama yang sedang dibina itu turut menimbulkan kekangan dari segi ruang khususnya berdekatan dengan jalan utama ke bandar Limbang sehingga menyebabkan kerosakan jalan.

“Hasil lawatan dan maklum balas, kita meminta pihak kontraktor bagi kedua projek terbabit memantau dengan teliti terutama keadaan jalan utama supaya jalan tidak rosak dan menghalang lalu lintas.

“Jika berlaku kerosakan jalan baiki secepat mungkin,” katanya ketika ditemui media ketika melakukan tinjauan di kawasan jalan utama berhampiran projek Jalan Berkembar dan Projek Menaik Taraf Tebingan Sungai Fasa Dua semalam.

Mengiringi beliau ialah Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie Taboh.

ADUN Bukit Kota itu berkata lagi, pihak kontraktor bagi projek pembinaan Jalan Berkembar dari dua kepada empat laluan itu perlu mempercepatkan pembinaan jalan ini supaya tidak mengganggu lalu lintas dan perjalanan pengguna.

Ia penting katanya, kerana pembinaan jalan berkembar itu dilakukan melibatkan jalan utama satu-satunya ke bandar Limbang yang mengalami kerosakan dan sedang dibaiki sekarang.

“Kita juga meminta pihak kontraktor yang sama menyelenggara saliran perparitan termasuk keperluan membina lebih banyak aliran air bagi memastikan air bertakung dapat dialirkan ke kawasan sungai terutama ketika hujan lebat berlaku,”ujarnya.

Menurutnya, penyelarasan lebih teliti daripada pihak kontraktor dan agensi pelaksana perlu memandangkan keadaan muka bumi Limbang yang berhadapan sungai dan bukit dan berdepan kekurangan kawasan.

“Penyelarasan ini juga perlu kerana faktor taburan hujan tidak menentu di Limbang sehingga menyebabkan banjir dan kesesakan,  selain saliran air di kawasan projek yang belum lagi dinaik taraf turut menyebabkan masalah air bertakung di jalan utama,”ujarnya.

Jelasnya, pada masa ini Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) sedang membuat kajian menyeluruh berkaitan perparitan dan saliran di bandar Limbang dan pelan utama akan siap tahun ini.

“Apabila siapnya kajian ini banjir kilat yang melanda di sini dapat ditangani dan tidak berulang,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, projek pembinaan jalan berkembar sejauh 1.16 kilometer dengan kos RM15 juta dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan selain melancarkan aliran trafik di bandar ini apabila siap Februari tahun depan.

“Kita cuba ingin membetulkan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kos projek ini bernilai RM60 juta, sebaliknya hanya RM15 juta dan memakan masa 16 bulan pembinaan,” ujarnya.

Useful Links

Useful Links